Wednesday, December 22, 2010

Catatan Hati dalam Setiap Sujudku

"Allah, Engkau tahu bertapa tertatihnya hamba dalam meniti jalan ke syurgamu.
Bertapa banyak peluang kebaikan yang ku abaikan.
Maafkan hamba Ya Allah, kerana meskipun berlalu usia dalam bilangan yang banyak..
masih sedikit rasa syukurku kepadaMu."




UJIAN ITU

"Ikhlaskanlah....."

     Saya mengelengkan kepala. Saya tidak boleh. Saya menarik nafas berkali-kali. Saya belum dapat melakukannya.

"Ikhlaskanlah....." Mohon yang terbaik, bukan untuk kita, tetapi untuk Adam," kata Isa lagi.

     Air mata saya mengalir deras. Adam, bayi kecil saya, usianya baru emoat hari, semasa ujian itu datang.

    Saya tidak boleh melupakan hari itu. Saya memangku Adam di atas tempat tidur pada waktu dinihari. Anak kecil saya sudah bangun dan menatap saya dengan matanya yang bulat dan besar itu. saya tidak ingat apa yang saya cakapkan kepada Adam ketika itu, tetapi saya ingat yang saya berhenti bercakap apabila saya lihat bahagian tubuh kirinya menggigil. Gigilan itu berulang-ulang, namun ia hanya membuat saya panik dan cemas empat jam kemudian. Bodohnya saya!

"Kita berharap Adam hanya diserang sawan. Itulah kemungkinan terbaik," kata Dr, Jahja Zakaria. 

Doktor sama yang merawat Salsa, gadis kecil berusia empat tahun, anak perempuan pertama kami, sejak kecil. Kemungkinan lain?

"Ada kelainan dalam otak ataupun pendarahan, mudah-mudahan bukan itu."

     Ya Allah.... sungguh kita tidak dapat menduga apa yang bakal berlaku. Beberapa jam lalu, Adam masih sihat. Anak kedua kami adalah anak yang comel, tidak banyak ragam. Badanya yang montel membuat sesiapa yang melihatnya geram.

     Semua itu masih terbayang dalam kepala semasa saya menatapnya di dalam bilik rawatan khas. Adam hampir tidak muat di dalam kotak kaca yang disediakan oleh jururawat. Selain peralatan yang melekat pada tubuhnya, Adam seperti bayi montel yang sedang tidur nyeyak.

" Kekejangan yang dialami Adam disebabkan oleh pendarahan dalam otak."

     Kata-kata doktor itu mengejutkan kami. Saya rasa jantung jantung saya seperti dicabut keluar ketika mendengar penjelasan doktor. Saya hampir tidak percaya. Dua hari lalu, Adam dalam keadaan baik. Masih lagi bermain dengan kakaknya, Salsa. Malah, saya baru sahaja membawa Adam ke hospital yang sama bagi mendapatkan imunisasi  Hepatitis B. Tetapi sekarang?

 DETIK-DETIK DI HOSPITAL

 Hati saya tidak berhenti memanjatkan doa. Benar, saya tidak pernah berasa ragu pada doa. Tetapi rasanya, saya belum pernah berdoa bersungguh-sungguh seperti ini.

" Kekejangan agresif. Sudah dua hari tetapi masih belum berhenti."

Penjelasan-penjelasan doktor semakin melemparkan saya ke dalam jurang tanpa harapan. Lebih- lebih lagi, selepas tiga hari masa kritikalnya masih berlalu. Adam masih lagi kejang. Sedangkan setiap kekejangan itu mengurangkan kecerdasannya. MasyaAllah.

" Sabar, ibu. Ikhlaskan sekiranya kita perlu memilih. Kasihan Adam apabila dia terpaksa menahan kesakitan. Minta supaya Allah berikan yang terbaik." Isa terus menasihati saya.

     Bayangan seorang ibu yang kehilangan bayinya pada suatu petang, bermain-main di fikiran saya. saya ada disana ketika itu. Kami duduk bersebelahan didepan bilik rawatan. Malah, kami sempat berbual-bual dan berkongsi kecemasan, hingga sebuah tangisan kedengaran. Tangisan kehilangan.

"Tuhanku, aku belum boleh mengikhlaskannya. Aku ikhlas dengan ujian ini. Tetapi berikanlah kesembuhan kepada Adam, sembuhkanlah dia."

     Saya dan suami tidak pulang ke rumah semasa Adam dirawat. Kami menginap di rumah saudara yang terletak berhampiran dengan hospital. Setiap hari, pagi-pagi lagi saya sudah tiba di hospital bagi menjenguk Adam. Saya hanya pulang ke rumah pada waktu petang.

     Sepanjang saya berada di hospital, sebuah buku doa sentiasa berada dalam gengaman saya, manakala tangan kanan saya menyentuh bahagian kepala Adam yang dikatakan berlaku pendarahan. Kadang-kadang saya bingung kerana doktor memberitahu yang pendarahan berlaku di beberapa tempat. Itu sebabnya Adam tidak boleh dibedah. Kekurangan protrombin, salah satu komponen pembeku darah, adalah penyebab pendarahan otak berlaku.

 Bismillah.....bismillah.....bismillah.....

     Saya berdoa berulang-ulang kali, sambil menahan air mata yang mahu keluar di pelupuk mata.


"Tuhanku, berikanlah kesembuhan yang sempurna kepada Adam. Kesembuhan yang hanya engkau mampu berikan."

     Sepanjang Adam dirawat dihospital, suami mengambil cuti supaya dia dapat menemani saya. Saya sering melihat matanya berkaca-kaca dan wajahnya sayu menahan perasaan apabila melihat perkembangan Adam yang lambat. Bayi kami perlu diberi transfusi plasma bagi mengambil protrombin daripada darah normal. Oleh kerana tangan kanannya bengkak, jarum dipindahkan ke tangan kiri. Kemudian, tangan kirinya bengkak dan jarum dipindahkan ke kaki. Sekarang kakinya juga bengkak.

     Keadaan Adam yang tenat memberi tenaga yang luar biasa kepada saya dan bapanya bagi memohon kepada Tuhan. Saya memang cuba menahan tangis semasa menunggu di hospital dan hanya mengalirkan air mata ketika menghadapnya pada waktu solat,terutamanya pada malam tiba.


     Pada saat-saat begini, sungguh terasa bertapa tidak berdayanya saya, sungguh tidak berdayanya doktor tanpa kehendakTuhan. Saya hadapkan diri dengan penuh kerendahan, berharap kemurahan dan keajaiban.Seterusnya berharap Allah melihat kesungguhan kami berdoa dan mengambulkan permintaan kami.


KEPADA YANG MAHA SEMPURNA


Kami meminta keluarga, teman-teman dan siapa sahaja bagi menyumbangkan seungkap doa untuk Adam. Ibu saya,yang mualaf malah bernazar tidak meninggalkan solat sekiranya Adam sembuh. Ibu juga meminta bantuan doa daripada teman-temannya yang tidk beragama islam. Ibu berpendapat, semakin banyak yang menadahkan tangan kepadanya semakin baik.


     Bukan hanya itu, buat pertama kalinya,ibu turut mendirikan solat tahjud. Ibu juga memanjangkan sujudnya, hingga dahinya terasa dingin. Dia juga memohon berulang kali dan menangis hingga matanya bengkak.


 " Ya Allah, Engkau Maha Berkuasa, aku inginkan mukjizatMu, Ya Allah. Tunjukkanlah kepadaku bagi menguatkan lagi imanku. Sembuhkan cucuku Ya Allah sehingga tidak ada bekas luka sedikit pun. Berikanlah aku mukjizatmu....."


     Hari ketiga, kejang Adam berhenti buat pertama kalinya. Doktor menyuruh kami terus berdoa. "Masa kritikalnya hanya berakhir apabila kekejangan tidak berulang lagi dalam masa 24 jam," jelas Dr Jimmy Pasat.


     Alhamdulillah. Selepas merasakan hari-hari sebelumnya gelap tanpa matahari, kini ada setitik cahaya. Saya dan suami berdoa dengan lebih giat dan bersungguh-sungguh.


     Oleh kerana takut selepas solat malam, saya dan suami mengerjakan solat tahjud selepas solat Isyak. Walau bagaimanapun, keadaan Adam masih lagi belum pasti.


 "  Terdapat luka di otaknya dan ini mungkin mempengaruhi fungsi tubuh Adam. Tetapi sekarang kita masih belum tahu bahagian mana yang mendapat kesan itu,"


     Penjelasan doktor membuat kami faham yang kami masih lagi perlu berdoa, masih perlu meminta kepada yang Maha Sempurna.


"Tuhanku, berilah anak kami kesembuhan sempurna. Kesembuhan yang hanya Engkau mampu memberinya."


     Kami menyedari, sebagai manusia, tidak ada yang boleh kami lakukan kecuali berdoa dan terus berdoa. Kami habiskan malam-malam kami dengan lantunan doa dan tangisan, di tengah sujud-sujud kami.


     Sekiranya kami tidak memilikinya, sekiranya kami tidak percaya pada kekuasaannya, sekiranya kami tidak yakin pada hikmah di sebalik setiap kejadian, mungkin saya dan suami sudah lama putus asa.


       Tetapi kami sedar yang kami masih memilikinya.Kami masih punya tempat memohon. Bayi kami dirawat selama 10 hari. Sebulan selepas itu, Dr Jimmy melakukan MRI, imbasan lebih terperinci yang dilakukan pada kepala, di mana setiap bahagian kepala dapat dilihat.


      Kemuncak ketegangan kami adalah pada hari doktor menyampaikan keputusan MRI itu. Dengan dada berdebar, kami menunggu Dr Jimmy memberi penjelasan. Beliau berusaha menenangkan kami dengan sikapnya yang penuh simpati.


"Bertenang, jangan bimbang,"katanya.


      Mana mungkin kami dapat bertenang. Belum apa-apa kami sudah mahu menangis.


"Apa yang kamu lihat?" tanyanya dengan ramah, sambil menunjukkan beberapa keping gambar kepala dengan garisan-garisan.


      Tanpa menunggu jawapan kami, Dr Jimmymeneruskan kata-katanya,   " Sepatutnya dalam kes seperti ini, terdapat titik-titik bekas pendarahan. Ibarat air yang tumpah di atas sekeping kertas putih. sudah tentu kelihatan bekas-bekas yang jelas dilihat dibawah matahari."


      Perasaan kamisemakin tegang. Dr Jimmy serius ketika menyampaikan kalimat terakhirnya itu.


"Dalam kes Adam, bekas seperti itu sama sekalitidakkelihatan. Ini betul-betul ajaib!"


     Alhamdulillah. Secara anatomi, sekarang Adam sama seperti kanak-kanak biasa. Semuanya normal. tetapi dia masih perlu di awasi kerana tubuh yang normal tidak bermakna fungsi tubuhnya juga normal. Kami masih perlu menunggu.


     Mungkin penglihatan Adam akan terganggu ataupun mungkin tangan kiri atau tangan kanannya. Segalanya mungkin......


SETIAP KALI MENATAPNYA


" Sekiranya kamu dengar apa ynag dikatakan Adam, kamu pasti bahagia,"


Kata-kata daripada bapa kepada anak-anak membuat saya tersenyum. Sedangkan, saya baru sahaja meninggalkan rumah. Saya memang mendapat kelonggaran dalam dalamkerja saya  dimana saya boleh datang ke pejabat pada bila-bila masa sahaja. Pada hari itu, saya berangkat ke pejabat selepas pukul 3 petang. Sekarang.... saya lihat jam dipergelangan tangan  sudah menunjukkan 7 malam.


"Apa yang dikatakan Adam,"


      Suami saya tersenyum dan dia juga kelihatan terharu. " Dari petang tadi, Adam asyik bertanyakan kamu. Bila ibu balik?Ibu ke mana, ayah?"


"Kemudian saya memberitahu, ibu balik pukul 7 nanti. Selepas itu, dia asyik bertanya, sudah pukul 7 ataupun belum ayah? Lama lagikah pukul 7? Dia bertanya berulang-ulang kali.


     Saya tertawa, sambil meletakkan beg tangan di atas kerusi tamu.


"Saya tanya dia, mengapa dia asyik bertanyakan kamu?"


"Apa jawapannya?" tanya saya, mahu tahu apa yang ada dalam kepala anak kesayangan saya itu.


"Dia kata, tidak ada apa-apa ayah. Adam cuma rindukan ibu!"


      Saya berasa begitu terharu. Dengan mata berlinangan, saya terus mencari anak bongsu saya. Adam sekarang berusia hampir 7 tahun. Alhamdulillah, badannya kuat. Dia sangat suka bersukan. Naik basikal, bermain badminton, futsal, malah dia juga suka main tariktali. Kecerdasannya? Alhamdulillah. Anak bongsu saya selalu menunjukkan prestasi cemerlang kepada kami. Seolah-olah dia tidak mahu kalah dengan kakaknya.


     Kami teringat pada kejadian semasa dia masih bayi. Ketika kami menunggunya di hospital selama 10 hari dan kami sentiasa berdoa supaya Allah memberikannya kesembuhan yang sempurna.


     Harapan dan doa itu sentiasa kami pegang, walaupun selama dua tahun kami membawa Adam menjalani rawatan di bahagian saraf kanak-kanak, banyak perkara menyedihkan yang menggugat harapan kami.


" Budak yang masuk sebelum Adam juga menghidap penyakit yang sama dengan Adam"


      Saya juga mengingatiwajah kana-kanak yang berselisih dengan saya dipintu masuk tadi. Kanak-kanak itu berusia dalam lingkungan 5 atau 6 tahun, dengan sebelah kulit mukanya berwarna merah gelap.


"Tetapi sayang, ibu bapanya terlambat membawanya mendapatkan rawatan," kata doktor.


      Pada waktu lain pula, kami melihat seorang kanak-kanak yang ukuran kepalanya tidak seimbang dengan saiz badannya. Kecerdasannya juga berkurangan.


"Penyakitnya lebih kurang sama dengan Adam, iaitu diserang angin ahmar semasa bayi," kata doktor.


Allahuakbar!


      Selepas apa yang kami lalui, kami tahu Allah memberi kami lebih daripada yang kami minta. 


      Kini Adam berada dalam darjah 2. Dia budak yang aktif dan sangat rapat dengan ibunya. Adam juga sangat gemar berdoa dan selalu tidak sabar menunggu masuknya waktu solat.


Alhamdulillah. Adam Putra Firdaus namanya. Memang kamu, Bermakna kami menyaksikan jejak keajaiban yang ditinggalkannya untuk ibu.


Wallahualam


Sekian









No comments:

Post a Comment