Menjalani liku-liku hidup sebagai seorang manusia, kita tidak akan
dapat lari daripada diuji oleh Allah Azza wa Jalla. Ujian yang
mendatang selalunya menjadikan diri kita lebih tegar dan kuat. Masakan
tidak. Ujian mengajar seseorang untuk jadi lebih lasak dalam menggalas
setiap bebanan kehidupan.
Menurut Ibn Manzur dalam Lisanu al-‘Arb, bala’ itu adalah ujian yang
terdiri daripada yang baik juga yang buruk. Seperti mana yang
diberitakan pada surah al-Anbiyaa’ iaitu;
ونبلوكم بالشر والخير فتنة وإلينا ترجعون
Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan
dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan
dikembalikan. [Al-Anbiyaa’: 35]
Al-Hafiz Ibn Katsir dalam memberikan penerangan terhadap ayat ini
menyatakan bahawa Allah menguji hambanya dengan musibah pada satu
waktu, dan kemudian dengan nikmat pada waktu yang lain, untuk melihat
siapa yang bersyukur dan siapa yang kufur, siapa pula yang sabar, dan
siapa yang putus harap.
Dan al-Hafiz ada menukilkan kata-kata Ibnu ‘Abbas dalam menafsirkan
ayat ini, bahawa Allah menguji hambanya dengan kecelakaan dan
kesenangan, dengan kesihatan dan kesakitan, dengan kemewahan serta
kemiskinan, dengan perkara yang halal dan apa yang haram, dengan
ketaatan dan kemaksiatan, serta dengan hidayah dan kesesatan. [Tafsir
al-Quran al-‘Adzim, Ibn Katsir, Abu al-Fida’.]
No comments:
Post a Comment