"Sudah lima tahun Man, lima tahun! Sudah lama benar kau kahwin
dengan perempuan itu! Jangankan tiga, seorang cucu pun Mak tak dapat
lagi!"
Datin Syuhada sudah tidak dapat bersabar lagi. Sikap acuh tidak acuh
Azman benar-benar membuatkan dia naik darah. Ini bukan kali pertama
Datin Syuhada naik angin. Sudah hampir seratus kali agaknya Azman
mendengar bebelan yang sama setiap kali dia datang menemui ibunya itu.
"Dulu Mak dah cakap. Jangan kahwin dengan perempuan itu. Dia tu
mandul! Tengok muka dia pun Mak dah tahu dia tu tak sihat. Tapi kau tak
pernah nak dengar cakap Mak. Kau kahwin juga dengan dia. Sekarang kau
terimalah padah akibat ingkar kata-kata Mak. Orang lain baru dua tahun
kahwin pun dah ada dua orang anak, engkau ni dah lima tahun kahwin,
seorang anak pun tak ada!"
Datin Syuhada terus-menerus melayan amarahnya. Betapa emosinya pada
waktu itu dikuasai oleh syaitan laknatullah yang ligat menghembuskan
hasutan dan kata-kata keji ke dalam hati wanita berusia separuh abad
itu.
" Rezeki tu di tangan Allah Mak. Mungkin belum sampai waktunya
lagi. Kalau Man sebagai suami boleh bersabar, mengapa Mak tak boleh?
Susah sangat ke, Mak?", sedih Azman apabila terpaksa bertelagah dengan ibunya setiap kali mereka bersua muka.
Bukan senang untuknya mencuri masa bertemu dengan ibunya. Namun,
setiap kali ada peluang bertemu, pasti isu zuriat yang akan
dibangkitkan. Kadangkala Azman terfikir, andai saja ayahnya masih ada,
pasti ibunya tidak akan bersikap sebegitu.
Pemergian Datuk Rosmi telah membawa perubahan besar dalam kehidupan
mereka. Terutama sekali terhadap ibunya. Ibunya kini bukan lagi seorang
insan penyayang, bukan lagi seorang insan yang lembut dan sopan, juga
bukan lagi seorang insan yang halus bicaranya.
Secara jujurnya, perubahan pada sikap Datin Syuhada benar-benar
menyiksa batin Azman. Ayahnya pergi dengan membawa bersama sinar cahaya
yang dahulunya menjadi penerang di kala siang, pelita di kala kelam.
Kewibawaan dan kehebatan Datuk Rosmi sebagai nakhoda kepada bahtera
yang mereka layarkan ke lautan Ilahi benar-benar menjadikan beliau
sanjungan isteri serta waris tunggalnya. Azman, satu-satunya permata
yang mampu diberikan oleh Datin Syuhada dibentuk dan diasuh dengan
penuh kasih sayang serta perhatian walaupun amat sibuk dengan pelbagai
urusan di luar kota.
Datuk Rosmi dan Datin Syuhada sentiasa memastikan waris tunggal
mereka mendapat segala yang diperlukan bagi mendepani dunia yang penuh
fatamorgana yang mampu menyesatkan jiwa-jiwa yang kosong. Sejak kecil
lagi, Azman dibentengi dengan ilmu serta pengetahuan dalam bidang
agama. Tidak lupa juga pengetahuan duniawi yang membantunya berjaya di
dunia ini.
Sungguh kiamat itu benar, dan atas kepercayaan itulah Datuk Rosmi
tidak pernah leka dalam memastikan ahli keluarganya bersedia untuk
menerima kedatangan hari itu nanti. Dia tidak mahu keluarganya
tergolong dalam kalangan manusia-manusia yang kerugian.
Namun, sejak beliau pergi menyahut panggilan Ilahi, segala-galanya
telah berubah. Rumah besar yang dahulunya terang menjadi gelap-gelita.
Sunyi dan sepi tanpa cahaya Ilahi. Tidak ada lagi kehangatan serta
kasih sayang di dalam rumah itu. Pernah suatu ketika dahulu Azman
tersesat dari jalan yang dahulunya pernah dia lalui bersama arwah ayah
tercinta. Imannya cukup rapuh ketika itu. Serapuh besi berkarat yang
yang boleh hancur dengan hanya sekali jentik sahaja. Namun, cepat-cepat
dia tersedar lalu membetulkan landasannya.
Alhamdulillah...Kehadiran Syakila ke dalam hidupnya memudahkan lagi
usahanya kembali ke jalan Allah. Syakila, sekuntum bunga indah yang dia
temui di rumah Allah terus di angkat menjadi zaujahnya sebaik sahaja dia mengenalinya melalui seorang Ustaz.
Syakila hidup sebatang kara. Hidupnya di bumi ini menumpang kasih
Allah yang disalurkan melalui seorang insan mulia seperti Ustaz Hasan.
Dengan keyakinan bahawa Azman akan membimbing Syakila ke jalan syurga,
Ustaz Hasan dengan rela hatinya menyerahkan Syakila kepada Azman. Tidak
ada sedikit pun keraguan di hatinya terhadap jejaka soleh seperti
Azman. Doanya agar mereka berjaya di akhirat kelak.
***********
" Ila, Mak dah tak boleh sabar lagi! Mak dah ada calon untuk
Azman. Dah lima tahun kau kahwin dengan Azman, tapi kau tak mampu nak
berikan Mak walau seorang cucu pun. Mak dah tak tahan bermenantukan
perempuan cacat macam kau. Sekarang kau pilih
sendiri. Sama ada kau beri Mak cucu dalam masa tiga bulan ni, atau kau
izinkan Azman kahwin lagi. Ingat, Ila! Azman tu satu-satunya anak Mak.
Mak tak boleh terus berdiam diri andai keturunan Mak dibiarkan tak
bersambung begini. Lagi satu! Kalau sampai Man tahu hal ni, kau tahulah
nasib kau nanti!”
Panggilan tersebut hampir saja membuatkan Syakila rebah menyembah
bumi. Berkecamuk hati wanitanya apabila kata-kata keras seperti itu
dituturkan kepadanya. Hati wanita mana tidak sedih jika menerima
panggilan seperti itu.
"Astarghfirullahal ‘azim..."
Beristirghfar panjang Syakila sebaik saja menerima amaran keras
tersebut. Sungguh tidak dia sangka, ibu mertua yang selama ini
disanjungnya bagai ibu kandung sendiri sanggup menuturkan kata-kata
tersebut terhadapnya. Syakila sedar siapa dirinya. Wanita yang serba
kekurangn, wanita yang tidak sempurna.
Bukan dia tidak pernah berusaha. Sudah bermacam -macam ikhtiarnya
dengan Azman. Namun, tidak satu pun usahanya menunjukkan hasil yang
diinginkan. Syakila redha, mungkin Allah masih ingin mengujinya. Ujian
ini adalah suatu tarbiah buatnya. Bibirnya tidak pernah putus berdoa
kepada Allah. Doanya agar suatu hari nanti Allah akan mengurniakannya
seorang permata yang bakal mendoakan dia dan suaminya di saat mereka
sudah tidak ada lagi di dunia ini.
Nabi Ibrahim a.s. yang mendapat tempat khusus di sisi Allah tidak
pernah mengeluh walaupun dikurniakan dengan cahaya mata hanya ketika
usianya sudah lanjut. Inikan pula dirinya. Dirinya yang hanya merupakan
makhluk yang lemah lagi hina di sisi Allah. Syakila yakin bahawa ujian
yang didatangkan kepadanya tidak sia-sia. Pasti ada hikmah di
sebaliknya. Sama seperti pelangi indah yang muncul sesudah hujan di
siang hari.
***********
Syakila menyambut kepulangan cinta hatinya dengan senyuman yang
paling manis. Dia tidak mahu bermuram durja apabila sedang bersama
suaminya. Syakila cuba memaniskan wajahnya semanis yang mungkin.
Walaupun begitu, ada kesedihan di mata beningnya yang terkesan oleh
Azman. Segera Azman mencari puncanya.
" Ila, kenapa ni? Kenapa isteri Abang sedih hari ni? Patutlah
air panas yang Abang minum ni pun terasa sejuk je. Rupa-rupanya, ada
orang tengah berduka ni....", lembut sekali bicara Azman terhadap
ratunya itu. Diselitkan sedikit jenaka dalam kata-katanya tadi. Dia
cuba memancing tawa Syakila.
Syakila menjadi sedikit gugup. Sungguh dia gagal menjadiaktres
terbaik setiap kali berdepan dengan suami tercinta. Walaupun begitu,
dia tidak semudah-mudahnya meluahkan segala rasa pahit yang sedari tadi
dipendamnya jauh di lubuk hati yang paling dalam. Biarlah hempedu itu
dia telan sendiri. Dengan suara yang manja, Syakila membalas gurauan
suaminya.
" Abang tu la... Keluar tak ajak Ila pun. Lepas tu, tinggalkan Ila lama-lama kat sini. Sorang-sorang pula tu. Ila rindu tau..."
Azman ketawa besar. Sikap manja yang ditunjukkan oleh isterinya yang
terkadang tegas itu benar-benar mencuit hatinya. Dia merangkul erat
permaisurinya itu. Sungguh dia kasih akannya. Tidak pernah sekali pun
dia menyesali pernikahannya dengan Syakila. Kehadiran sekuntum bunga
indah ke dalam hidupnya sudah cukup untuk membuatkan Azman mengucap
syukur kepada Allah di setiap hembusan nafasnya. Mereka bahagia
walaupun setelah lima tahun, rumah itu masih belum dihiasi dengan tawa
riang anak kecil.
*********
Lena Syakila malam itu ditemani air mata duka. Ditatapnya puas-puas
wajah tenang yang sedang lena diulit mimpi di sebelahnya. Bila
difikirkan semula, ada betulnya juga kata-kata ibu mertuanya tadi
petang. Azman perlu meneruskan keturunannya. Syakila mula memikirkan
kembali akan keputusan besar yang harus dia hadapi nanti.
Lama dia beristikharah malam itu. Pintanya agar dia diberi kekuatan
dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan yang sebaiknya. Kasihnya pada
Azman terlalu tinggi. Andai seorang zuriat mampu menyerikan lagi hidup
Azman, Syakila rela. Dia rela berkongsi kasih meskipun hatinya bakal
terluka. Apa yang penting baginya adalah kebahagiaan Azman.
"Ya Allah... Berikanlah hamba-Mu ini kekuatan dalam mengharungi cabaran dari-Mu...", rintih hati kecil Syakila. Air matanya bercucuran mengenangkan suami yang mungkin akan dikongsikan bersama wanita lain nanti.
Andai saja dia bisa menjadi sekuat Sarah. Sarah, isteri milik Nabi
Ibrahim a.s. Wanita mulia yang cukup kuat untuk berkongsi kasih sayang
suami tercinta bersama seorang wanita lain bernama Hajar. Wanita mulia
yang akhirnya dikurniakan Allah seorang zuriat atas kesabaran serta
keteguhannya.
*********
Dua bulan berlalu. Pertemuan Azman dan ibunya tidak lagi diisi pertelingkahan apabila Azman membawa Syakila dengan sebutir permata
yang sedang membesar di dalam rahimnya. Sejak hari itu, sikap Datin
Syuhada terhadap Syakila berubah serta-merta. Rajin sekali dia menjaga
Syakila. Sungguh dia kini kasih pada menantunya itu. Menantu yang
dahulu dia caci maki dek kerana kekurangannya sebagai seorang wanita.
Sungguh Allah itu Maha Mendengar. Doa Syakila serta Azman yang
bertahun-tahun lamanya termakbul jua.
"Ila, Abang redha Ila sebagai isteri Abang selama ini. Abang
halalkan makan minum Ila. Abang ampunkan segala dosa-dosa Ila. Abang
tunggu Ila kat sini. Abang tunggu Ila datang dengan permata kita. Abang sayangkan Ila.”
Azman mengucup lembut dahi isterinya yang bakal dibawa masuk ke wad
bersalin sebentar sahaja lagi. Syakila tetap tersenyum manis walaupun
kesakitan yang dia tanggung hanya Allah sahaja yang tahu.
Tempoh sembilan bulan menunggu kehadiran si permata cukup
membahagiakan buat Azman. Kasihnya pada Syakila kian mekar sepanjang
tempoh itu. Anak yang mereka gelarkan permata itu seringkali mereka
perdengarkan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran setiap malam.
Sungguh kasihnya mereka kepada zuriat mereka yang bakal lahir itu.
**********
Tiga jam berlalu begitu sahaja. Tangisan bayi perempuan yang
memenuhi ruang tersebut cukup menggembirakan Azman. Namun, hatinya
tidak keruan kerana tangisan itu tidak datang sendirian. Ada tangisan
lain yang mengiringinya. Azman kenal suara itu. Cukup kenal.
Dia segera merempuh ke dalam wad tanpa menghiraukan para jururawat
yang sedang bertugas. Dilihatnya Syakila sedang tidur. Dia tersenyum
senang. Dihampirinya jasad lemah itu. Dikucupnya dahi Syakila
dalam-dalam. Namun, saat dia memberikan kucupan tersebut, dia tidak
dapat mengesan hembusan nafas Syakila. Ditatapnya wajah itu puas-puas.
Jasad itu sudah kaku. Tidak bergerak lagi.
Azman tersungkur di hadapan jasad kaku tersebut. Sesungguhnya, Syakila telah syahid dalam pertarungan agung itu.
No comments:
Post a Comment